Saturday, December 19, 2009

Sekapur Sireh

Askum kepada pengunjung blog saya. Blog ini merupakan medium baru yang saya rasa mampu untuk mendekatkan saya dengan pelajar-pelajar & rakan-rakan kaunselor. Pelbagai informasi berkenaan dengan pelajaran, kerjaya, motivasi diri, perbincangan masalah boleh dikupas dan dikongsi bersama di blog ini. InsyaAllah, saya akan cuba membantu mengikut kemampuan, ilmu pengetahuan & kemahiran yang saya miliki untuk kebaikan bersama dalam proses memperbaiki diri masing-masing. Blog ini juga diharapkan dapat mengeratkan silaturrahim di antara pelajar dengan kaunselor.
Untuk permulaan, saya ingin memaklumkan beberapa perkara :
Kepada pelajar-pelajar Ting 5 2009 SMT Melaka Tengah, Melaka. Alhamdulillah peperiksaan SPM telah berakhir. Saya pasti anda telah membuat perancangan sementara menunggu keputusan peperiksaan SPM keluar. Ada yang akan bekerja dengan alasan untuk mencari duit poket. Mungkin ada yang akan berehat di rumah sambil membantu ibu atau bapa mereka. Yang penting anda perlu manfaat masa yang ada dengan bijak.
Sejak kebelakangan ini, saya sering menerima sms daripada pelajar-pelajar SMTMT. Antara mesej yang saya terima yang mengatakan mereka ada menerima panggilan telefon atau surat tawaran daripada kolej swasta berhubung dengan tawaran belajar di kolej tersebut. Saya dapat merasakan rakan anda akan berasa gembira namun tertanya-tanya bagaimana dia dipilih. Saya ingin menasihati rakan anda supaya bersabar dalam membuat keputusan. Pasti anda dalam dilema dalam membuat keputusan. Jangan bimbang!! Sebaik-baiknya tunggulah sehingga keputusan SPM keluar, barulah buat pilihan. Pilihan yang bijak dapat merealisasikan cita-cita anda. Saya berpendapat, adalah lebih baik jika anda dapat melanjutkan pelajaran di IPTA kerana kos yurannya sederhana & tidak membebankan keluarga dan kursus-kursus yang ditawarkan mendapat pengiktirafan MQA & JPA yang boleh menjamin untuk mendapatkan pekerjaan setelah tamat pengajian nanti. Apa yang penting keputusan yang kamu perolehi itu sama ada cemerlang, baik, sederhana atau kurang memuaskan, pasti ada laluan untuk melanjutkan pelajaran. Berbincanglah dengan kaunselor anda supaya anda mendapat maklumat yang tepat dan membuat pilihan yang bijak. Jangan fikirkan IPTA itu hanya untuk pelajar yang memperoleh keputusan yang cemerlang sahaja.
Akhir kata, selamat bercuti & jaga diri baik-baik. Elakkan diri daripada terjebak dengan aktiviti yang boleh merosakkan diri. Sayangilah diri anda & keluarga.
Sekian, wassalam